Friday, August 7, 2009

Buta mata kerana kanta

KANTA lekap kini merupakan antara alternatif kepada penggunaan kaca mata untuk memperbaiki penglihatan seseorang yang rabun.

Penggunaan kanta lekap juga kini dipelbagaikan dan bukan hanya terhad kepada membetulkan penglihatan, tetapi turut dijadikan alat kosmetik bagi menukar warna anak mata.

Satu persoalan yang dibangkitkan ramai; adakah penggunaan kanta lekap satu amalan yang sihat?

Sebenarnya, jawapan persoalan ini bergantung kepada disiplin dan sikap si pemakai itu sendiri.

Perkara utama yang harus dilakukan sebelum seseorang itu memakai kanta lekap ialah menjalani pemeriksaan mata oleh optometris atau pakar mata bagi menentukan sama ada individu berkenaan sesuai menggunakan kanta lekap ataupun tidak.

Malah, pengamal dan juga penjual kanta lekap yang berdaftar perlu menjalankan pemeriksaan kornea dan air mata seseorang untuk menentukan kesesuaian penggunaan kanta lekap bagi setiap pelanggan mereka yang berminat menggunakannya.

Komplikasi

Pasti terdapat komplikasi yang mungkin berlaku jika seseorang itu tidak mematuhi aturan pemakaian kanta lekap.

Komplikasi paling berbahaya ialah berlakunya jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dikenali sebagai ulser kornea.

Komplikasi ini juga boleh berlaku pada pengguna yang memakai kanta lekap untuk tujuan kosmetik.

Mengikut pengalaman peribadi, seorang pesakit telah menghidap ulser kornea selepas memakai kanta lekap untuk mengubah warna matanya supaya kelihatan lebih menarik dan mengikut peredaran fesyen.

Masalah bertambah serius apabila dia terus memakai kanta lekap walaupun matanya menjadi merah, berasa sakit dan penglihatan mula kabur.

Pesakit ini akhirnya menyesal kerana terikut-ikut dengan aliran fesyen. Akibat mahu mata kelihatan cantik, dia membahayakan diri dengan memperjudikan deria penglihatannya.

Tindakan

Apa harus dilakukan jika mata bertukar merah? Pemakai kanta lekap harus segera menghentikan sementara penggunaan kanta lekap apabila mata menjadi merah.

Bawa kanta lekap dan bekas simpanannya ketika berjumpa doktor mata. Doktor akan memeriksa bekas kanta lekap itu bagi memastikan jika berkemungkinan mengandungi kuman.

Rawatan segera untuk gejala jangkitan pada mata pula dapat mencegah kebutaan.

Dalam pemeriksaan, doktor akan menguji ketajaman penglihatan dan memeriksa keadaan mata pesakit, seterusnya menentukan penyebab mata merah.

Keadaan mata merah di kalangan pemakai kanta lekap mungkin disebabkan jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea.

Justeru, mata menjadi merah dan sakit. Jika tidak dirawat segera, pesakit boleh menjadi buta.

Ulser kornea boleh berlaku apabila kuman menjangkiti mata pemakai kanta lekap yang tidak menjaga kebersihan dan tidur tanpa menanggalkan kanta lekap.

Dalam satu kes berasingan, seorang pelajar malang di tingkatan tiga telah dijangkiti kuman yang menyebabkan ulser kornea.

Pelajar ini memerlukan rawatan selama dua bulan di dalam wad dan terpaksa mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di hospital.

Masalah yang dihadapinya berpunca daripada pemakaian kanta lekap melebihi tempoh ditetapkan atas alasan masalah kewangan dan kurang kemampuan untuk menggantikannya dengan kanta lekap yang baru.

Kelewatan berjumpa pakar mata, selepas tiga hari mengalami mata merah dan gangguan penglihatan, menyebabkan pelajar ini menjadi buta disebabkan parut yang kekal di kornea.

Hanya pendermaan mata dapat menyelamatkan penglihatan matanya kini.

Rawatan

Ubat titis antibiotik akan diberikan untuk masalah jangkitan mata dan harus digunakan setiap satu hingga dua jam.

Pesakit juga perlu mendapatkan rawatan di dalam wad untuk pemantauan rapi.

Doktor yang merawat pula perlu menanyakan dua soalan kepada semua pesakit yang mengalami mata merah, iaitu adakah mata berasa sakit dan penglihatan terganggu.

Jika pesakit mengalami dua gejala itu, pesakit itu harus dirujuk kepada pakar mata secepat mungkin.

Jika tidak dirujuk segera, besar kemungkinan pesakit menjadi buta andainya masalah berkenaan berpunca daripada sesuatu yang berbahaya seperti jangkitan kuman.

Akhir sekali, semua pengguna kanta lekap dinasihatkan:

*Jangan sekali-kali memakai kanta lekap melebihi waktu yang disarankan.

*Jangan tidur dengan memakai kanta lekap.

*Menghentikan penggunaan kanta lekap jika berlaku kemerahan pada mata dan segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan jika perlu.

*Pastikan diri dirujuk kepada pakar mata jika berlaku masalah mata merah dan penglihatan terganggu atau semakin kabur.

*Jangan menggunakan kanta lekap yang melebihi tempoh tarikh luputnya.

Bersama kita memastikan aplikasi kanta lekap untuk membetulkan masalah penglihatan tidak disalahgunakan dan digunakan mengikut arahan dan cara bersesuaian.

Pelihara mata dan deria penglihatan dari sebarang ancaman, terutamanya jangkitan kuman dari kanta lekap yang membutakan mata.

Risiko DVT selepas pembedahan

MAIMUN Mat Noor, 56, terpaksa membuang tulang di bahagian atas hingga bawah lutut pada kaki kanannya kerana penyakit kanser tulang yang dihadapi.

Seperti yang pernah diberitahu oleh doktor yang merawatnya, Dr. Jamal Azmi Mohamad, selepas pembedahan, beliau berisiko untuk mengalami darah beku terutama pada bahagian paha dan betis.

Justeru untuk mengelakkan darah beku terjadi, Maimun perlu bergantung dengan sejenis suntikan yang menjadi rutin hariannya selama di hospital dan selepas dibenar pulang ke rumah.

Anehnya selepas dua minggu dari tarikh pembedahan dan setelah dibenar pulang, Maimun masih berasa amat tidak selesa pada kaki kirinya.

Apa yang dirasai oleh Maimun adalah sesuatu yang lazim dialami oleh mereka yang menjalani pembedahan sama ada penggantian tulang pinggul, gantian sendi lutut atau patah tulang paha.

Dalam satu kajian yang telah dijalankan di negara ini, sebanyak 55 daripada 88 pesakit (62.5 peratus) yang telah menjalani rawatan bagi salah satu daripada tiga pembedahan itu menunjukkan simptom Deep Vein Thrombosis (DVT).

Daripada 55 kes tersebut, pesakit yang menjalani penggantian lutut mencatatkan angka tertinggi iaitu 76 peratus diikuti pembedahan pinggul (64 peratus) dan patah tulang paha (50 peratus).

Para penyelidik juga mendapati bahawa kejadian DVT selepas pembedahan yang dilaporkan dalam populasi Barat adalah sama dengan negara-negara Asia.

Bagi yang masih kabur, Pensyarah Kanan Jabatan Ortopedik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Azhar M. Merican memberitahu, DVT ialah darah beku yang tersumbat pada salur darah terutama betis dan paha atau bahagian-bahagian lain dalam badan dan biasanya terjadi selepas pembedahan

Keadaan tersumbat itu berlaku kerana aliran darah yang tidak lancar disebabkan bahagian tersebut tidak bergerak dalam satu tempoh yang panjang.

"Akibat daripada gangguan peredaran darah bahagian yang terjejas seperti paha dan betis akan menunjukkan tanda kemerahan, sakit dan bengkak.

"Keadaan ini membuatkan pesakit tidak selesa dan kaki berasa panas," jelas beliau ketika membentangkan taklimat tentang DVT kepada media pada bengkel anjuran Boehringer Ingelheim di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor, baru-baru ini.

Keadaan mungkin menjadi bertambah teruk jika berlaku pulmonary embolisme (PE) di mana darah beku pecah di tempat asal dan sampai ke paru-paru. Dalam situasi ini arteri dari jantung ke paru-paru tersekat membuatkan pesakit berasa sesak nafas dan dada sakit seperti dicucuk-cucuk.

mengancam nyawa

"Secara umumnya DVT tidak begitu berbahaya tetapi jika menjadi punca kepada komplikasi lain ia mungkin mengancam nyawa," katanya.

Dalam pada itu di bengkel sama, Dr. Jamal, yang juga pakar ortopedik dari KPJ Selangor, berkata, pesakit yang mengalami DVT akan dirawat dengan ubat yang menghentikan dan memperlahankan darah beku seperti heparin dan warfarin.

Kedua-duanya membantu mencegah darah beku sedia ada daripada menjadi besar dan menghentikan pembentukan darah beku yang baru.

"Penggunaan ubat profilaktik kini digunakan sebagai pencegahan. Ini telah dibuktikan lebih berkesan dalam mengurangkan risiko kes-kes vena tromboembolik terutamanya di kalangan pesakit-pesakit DVT.

"Walaupun tempoh rawatan dilanjutkan selepas para pesakit menjalani pembedahan namun sering diberhentikan selepas pesakit keluar dari hospital kerana rawatan dulu agak rumit dan leceh.

"Ini amat membimbangkan kerana pesakit masih mempunyai risiko terkena DVT walaupun setelah mereka keluar dari hospital," ujarnya.

Menurut Dr. Jamal Azmi, pesakit mahukan rawatan yang tidak rumit, selain itu aspek keselamatan rawatan juga harus diutamakan supaya keberkesanan rawatan boleh dioptimumkan.

"Rawatan yang ada selama ini agak mencabar kerana kesan rawatan yang lambat, peningkatan risiko pendarahan dan masalah-masalah lain yang timbul akibat daripada interaksi makanan dengan ubat," jelasnya.

Wanita hamil berisiko hidap H1N1

MELIHAT jumlah kes selesema babi atau Influeza A (H1N1) yang sedang menular di seluruh dunia ketika ini, para saintis dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mendapati kadar wanita hamil yang dimasukkan ke hospital disebabkan jangkitan penyakit itu adalah empat kali lebih tinggi berbanding kes biasa.

Para penyelidik dari jabatan tersebut turut menemubual wanita hamil yang dimasukkan ke hospital kerana selesema babi dan semua mereka mengatakan keadaan kesihatan mereka amat baik sebelum mereka jatuh sakit disebabkan virus tersebut.

Justeru para penyelidik berpendapat bahawa wanita hamil adalah golongan pertama yang patut mendapat vaksin selesema babi kerana mereka berisiko untuk mendapat jangkitan daripada virus H1N1.

Kajian tersebut turut mendapati wanita yang hamil akan berhadapan dengan komplikasi serius apabila terkena jangkitan virus pembunuh tersebut.

Di United Kingdom (UK) sehingga kini sekurang-kurangnya dua wanita hamil menjadi korban selesema babi. Seorang lagi wanita hamil di UK terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital di Sweden kerana hospital yang merawat pesakit selesema babi di UK sudah penuh dan tidak dapat memberikan rawatan terbaik kepada bakal ibu tersebut.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet itu juga menyarankan wanita hamil patut segera mendapat suntikan vaksinasi supaya diri dan bayi mereka selamat.

Disebabkan kes selesema babi yang agak tinggi di kalangan wanita hamil, terdapat beberapa cadangan bagi mengurangkan risiko mereka terkena wabak tersebut.

Beberapa agensi kesihatan di Amerika Syarikat mencadangkan agar wanita hamil tidak berkunjung ke lokasi yang penuh dengan orang ramai tetapi pihak kerajaan pula berpendapat wanita hamil boleh meneruskan cara hidup seperti biasa cuma perlu mengambil langkah ekstra dalam kebersihan. - Agensi

Kokurikulum tetap penting

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) digalakkan bergiat aktif dalam bidang kokurikulum supaya lebih mudah dan cepat diterima masuk dalam sektor pekerjaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, majikan kini mementingkan aspek kemahiran dan komunikasi sewaktu memilih pekerja.

Menurut beliau, ia selaras dengan pelan strategik Kementerian Pengajian Tinggi untuk melahirkan graduan berkualiti dan berdaya maju sama ada dalam pendidikan atau kemahiran.

"Saya yakin graduan yang melengkapkan diri mereka dengan aspek-aspek yang menjurus kepada pembangunan negara amat istimewa berbanding graduan yang hanya cemerlang dalam pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2009 peringkat universiti di sini hari ini.

Radin Umar berkata, pelajar yang melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum juga akan diberi kredit secara percuma.

Katanya, banyak aktiviti kokurikulum yang boleh disertai pelajar antaranya kelab penyayang, sukarelawan, perbahasan dan program lain namun ia mesti mempunyai nilai pembelajaran.

Beliau berkata, tujuan kementerian melaksanakan konsep kokurikulum di setiap universiti bagi menerapkan aspek kemahiran seperti berkomunikasi, kebolehan meyakinkan seseorang, berdaya maju dan berinisiatif.