HARI Raya Aidiladha dan ibadah korban tidak dapat dipisahkan dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan puteranya, Nabi Ismail a.s.
Sayangnya, peristiwa agung ini sekadar dilihat dari sudut sejarahnya semata-mata. Sebab itulah, acap kali tibanya Aidiladha, segelintir masyarakat Islam di negara ini meletakkan perayaan ini setaraf dengan hari-hari cuti biasa. Berbeza dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama sebulan.
Adakah ini menunjukkan penghayatan terhadap pengertian dan pengajaran di sebalik Aidiladha itu sudah semakin terhakis dalam masyarakat kita? Jika ya, bagaimanakah seharusnya peristiwa tersohor ini dihayati pengajarannya sesuai dengan senario kehidupan sekarang.
Mengakui keperluan mendesak bagi menyemarakkan ibadah korban, Pengetua Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, Faridilatras Abd. Rahman berkata, sememangnya ibadah korban dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s tidak dapat dipisahkan.
"Sebenarnya Allah SWT menjadikan Hari Raya Haji sebagai salah satu syiar agama-Nya. Dalam istilah syarak, hari ini yang juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha yang bererti perayaan penyembelihan korban.
"Oleh itu, jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat," katanya dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.
Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan.
Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.
Menurutnya lagi, perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik.
"Begitu juga dengan kewajipan berzakat, disunatkan sedekah dan digalakkan penyembelihan korban, di mana menunjukkan agama Islam mengajar umatnya sentiasa menjauhi sistem ekonomi liberal yang menimbulkan jurang pemisah antara golongan miskin dan kaya.
"Sebaliknya Islam menggalakkan kesamaan ekonomi, kesamarataan kekayaan dan perkongsian kemakmuran," jelasnya.
Hakikatnya terang Faradilatras, Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri.
Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
Tegas beliau, perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama sahaja berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (riwayat Abu Daud)
Oleh itu, jelaslah bahawa perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama. Malah Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
Sebenarnya kata Faridilatras, masyarakat hari ini menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah berbanding Aidiladha kerana kurang faham akan peristiwa bersejarah melibatkan dua insan iaitu Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s yang sangat tinggi nilainya.
"Sudah lebih 1,400 tahun Nabi SAW meninggalkan kita dan sudah pastinya, ibadah hari raya kita sudah ditokok tambah dengan adat-adat dan budaya atau dikurangi beberapa perkara penting sehingga ia kini sudah menjadi lebih budaya daripada agama," jelasnya.
Di samping itu, Faridilatras berpendapat antara punca utama perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah disebabkan kurangnya kesedaran tentang kelebihan melaksanakan amalan sunat seperti ibadah korban.
"Oleh yang demikian, saya merasakan perlu penerapan di peringkat awal kanak-kanak tentang sejarah keagungan ibadah korban agar ia terus bersemadi di dalam pemikiran masyarakat," katanya.
Sebenarnya kedatangan bulan Zulhijjah tegas Faradilatras, adalah bersama kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.
Puasa sunat
Jadi, mestilah digunakan sebaiknya oleh umat Islam terutamanya dengan berpuasa sunat hari Arafah bagi yang tidak menunaikan haji, di samping melaungkan takbir bermula pagi sembilan Zulhijjah hingga berakhirnya hari 'tasyrik' iaitu hari ke 13 Zulhijjah.
"Islam amat menganjurkan amalan bertakbir (mengagungkan kekuasaan Allah SWT), bertahmid (memuji-muji kebesaran Allah SWT), bertasbih (menyucikan Allah SWT daripada sebarang kesyirikan) bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.
Malah, kalimah takbir yang dilaungkan itu bukan satu kalimah yang kosong, sebaliknya ia mampu menyuntik semangat juang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian hidup yang sememangnya terpaksa kita hadapi sebelum diiktiraf tahap keimanan kita kepada Allah SWT.
"Kalau kita hayati maksud Hari Raya Aidiladha itu sendiri, ia membawa maksud Hari Raya Korban, maka kita disunatkan untuk melakukan ibadah korban.
"Ini bagi memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayang pada harta kesenangan dunia.
"Tanpa didikan dan asuhan agama dalam hal berkorban ini, maka agak sukar bagi kita untuk melakukan pengorbanan yang lebih besar terutamanya dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini," katanya.
Menurut Faradilatras, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah SWT)". (riwayat Ibnu Majah).
Amalan yang sunat dilakukan pada Hari Raya Aidiladha adalah melakukan korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Jika diperhatikan kini, jumlah penyembelihan semakin bertambah setahun demi setahun. Malah trend terbaru ialah menunaikan ibadah korban dan akikah di luar Malaysia atau di negara-negara umat Islam yang lebih memerlukan seperti di Kemboja, Palestin dan sebagainya.
Dalam Islam pengagihan daging korban ke negara luar adalah diharuskan. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah (yang fakir miskin). (al-Hajj: 28)
"Ayat ini menjelaskan bahawa, kita diperintah untuk mengagihkan dan memberi makan kepada fakir miskin tidak dikhususkan kepada negara-negara tertentu, selagi mana ia tidak terkeluar daripada perintah syarak.
"Di samping itu juga, Islam tidak melarang untuk membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan," katanya.
Lebih baik lagi, jika daging korban dapat diagihkan kepada masyarakat yang lebih memerlukan seperti di negara-negara Islam lain, terutamanya kepada mereka yang ditimpa bencana gempa bumi, peperangan dan kebuluran.
"Dan inilah, salah satu hikmah pelaksanaan ibadah korban yang menjurus kepada perkongsian kemakmuran dan menjauhkan umat Islam daripada sistem ekonomi liberal.
"Masyarakat pada hari ini, sewajarnya menilai bahawa Allah SWT telah menganugerahkan rezeki yang banyak di Malaysia, sehingga daging-daging korban berlebihan, sedangkan ada negara Islam yang masyarakatnya ramai, namun daging korban tidak mencukupi," kata Faradilatras. Sewajarnyalah program korban dan akikah serta pengagihan di negara-negara umat Islam lain disokong oleh setiap individu Muslim.
Malah menurutnya lagi, Dr. Yusuf al-Qaradawi, dalam penulisannya yang bertajuk Yusuf Qardawi dan pandangannya tentang Fiqh Minoriti dan Maslahah menyatakan, "maslahah (kepentingan umum) bermaksud kepentingan, kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah kepada masyarakat".
Jadi, pengagihan korban ke luar negara seperti di Kemboja dan negara-negara Islam yang lain boleh dikategorikan sebagai maslahah ummah (kepentingan umum).
Menyentuh cara sambutan ibadah korban dahulu hingga sekarang, terang Faradilatras, amalan ibadah korban sebenarnya telah dilaksanakan sejak dari zaman Nabi Adam a.s sehingga ke zaman Jahiliah.
Menyembelih korban di zaman nabi Adam a.s, adalah suatu sunat yang telah amat lama, yang dilakukan pertama kali oleh dua orang anak Adam, iaitu Qabil dan Habil atas perintah Adam a.s.
Firman Allah SWT: Dan baca oleh mu untuk mereka (terangkanlah olehmu untuk mereka) khabar berita dua orang anak Adam dengan sebenarnya, di kala anak Adam itu mempersembahkan korbannya maka Allah menerima korban salah seorang daripada keduanya termasuk menolak korban yang seorang lagi (iaitu Qabil). (al-Maidah 27)
Pada zaman Nabi Nuh a.s, sesudah terjadi taufan, Nabi Nuh a.s membuat tempat yang sengaja dan tertentu untuk meletakkan korban, yang nantinya korban tersebut dibakar.
Pada zaman Nabi Ibrahim a.s, yang mana pada mulanya beliau melakukan korban itu dengan memberi sedekah roti dan sebagainya. Menurut riwayat, beliau menyembelih anak sapi, kambing dan biri-biri.
Pada suatu ketika, Allah SWT menguji kekuatan iman Nabi Ibrahim a.s dengan memerintah kepadanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagai korban. Hal ini telah digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, surah ash-Shaffat, ayat 103 - 107.
Penyembelihan korban berterusan dilakukan hingga zaman Nabi Musa a.s iaitu membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada dua bahagian. Sebahagian dilepaskan sahaja dan sebahagian lagi disembelih.
Sebagai berkongsi pengalaman, beliau yang pernah menuntut di Universiti Islam Madinah menceritakan, kebanyakan orang Arab sentiasa berlumba-lumba terutamanya di dalam hal agama khususnya memperbanyakkan ibadah sedekah dan korban.
Ini kerana mereka meyakini setiap amalan baik akan diberi pahala yang setimpal.
Sewaktu membuat lawatan rasmi kerja di Kemboja pula, beliau dapati, masyarakat kemboja menanti-nanti daging korban daripada luar negara, ini adalah kerana mereka menghadapi kesempitan hidup berbanding negara-negara lain seperti Malaysia.
Oleh itu, saran Faradilatras, umat Islam Malaysia perlu bersyukur dengan nikmat kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan menyalurkan bantuan seperti melaksanakan ibadah korban.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment