Tuesday, June 23, 2009

Politeknik tawar kursus ijazah dikaji

JOHOR BAHRU 20 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi sedang melakukan kajian terhadap politeknik di seluruh negara dalam usaha menaik taraf kedudukan institusi itu termasuk menawarkan kursus peringkat ijazah pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu dilihat mampu mengikis tanggapan bahawa politeknik tidak setaraf dengan universiti hingga menjadikan institusi tersebut sebagai pilihan kedua di kalangan lepasan pelajar sekolah.

Katanya, politeknik perlu memiliki kekuatannya sendiri dan kedudukan institusi itu mesti selari dengan universiti dan bukannya di bawah standard universiti.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik untuk mengkaji bagaimana hendak menentukan institusi yang semakin menjadi tumpuan ini terutamanya di kalangan pelajar lelaki dapat ditingkatkan kedudukannya sebagai pilihan yang selari dengan universiti.

“Sekarang ini orang melihat politeknik sebagai kelas dua. Kita tidak mahu ada tanggapan begitu kerana apabila saya sebagai seorang pelajar sekolah, saya melihat kalau tidak dapat masuk universiti, saya hendak masuk politeknik,’’ ujarnya.

'Pak Arab' samun kedai emas

KUANTAN 22 Jun - Setelah lama menyepikan diri, kini penyamun 'Pak Arab' muncul kembali.

Kali ini sebuah kedai emas menjadi mangsa terbaru apabila sekumpulan lima warga Arab melarikan sejumlah barangan kemas mengakibatkan kerugian hampir RM50,000.

Dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu di sebuah pusat beli belah di sini kelmarin, warga Arab terbabit berjaya melarikan satu dulang mengandungi beberapa utas rantai tangan emas yang diletakkan dalam meja pameran di premis tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner T. Narenasagaran (gambar) berkata, ketika kejadian, seorang penyelia wanita di kedai emas itu didatangi tiga lelaki dan dua wanita Arab yang berpura-pura mahu membeli barang kemas.

"Hanya selepas setengah jam kumpulan warga Arab berkenaan beredar, barulah wanita berkenaan menyedari satu dulang berisi beberapa rantai emas dalam meja pameran telah lesap.

"Apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut, wanita itu mendapati barang kemas berkenaan dicuri suspek-suspek terbabit," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, dua kes pukau dan samun membabitkan warga Arab dilaporkan berlaku di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Gambang dan di sebuah stesen minyak di Jalan Teluk Sisek di sini pada 19 Mac lalu.

Rintihan ibu mangsa rompak

DALAM ruangan pojok Awang Selamat beberapa bulan lalu, ada disentuh tentang isu pendatang tanpa izin dan kesannya. Kini dengan era baru Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, besarlah harapan saya supaya keamanan dan ketenteraman yang pernah kita kecapi tidak akan tergugat.

Saya sendiri mengambil masa yang lama untuk mengatasi trauma kerana dirompak di rumah sendiri oleh empat perompak pada 20 Mac lalu pukul 3.30 pagi.

Apatah lagi saya mempunyai empat orang anak perempuan. Rumah saya hanya sebuah rumah di kampung. Kini saya takut untuk untuk meninggalkan anak perempuan saya seorang diri. Bayangkan anak saya yang baru lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa mengikut saya ke tempat kerja setiap hari.

Selain kehilangan barang kemas yang mempunyai sentimental value, telefon bimbit, wang dan komputer riba, saya tertanya-tanya di manakah tempat yang selamat jika di rumah pun saya dirompak.

Sekarang setiap pukul 3.30 pagi saya akan terjaga kerana ketika itulah kami sekeluarga diikat oleh para perompak.

Sepanjang masa mereka menggeledah, saya dan suami begitu risau dan takut. Risau dan takut bukan kerana harta atau barang berharga yang akan hilang tetapi risau dan bimbang kerana keselamatan empat orang anak gadis kami.

Saya memberanikan diri bersuara supaya anak-anak kami tidak diganggu (walaupun seorang anak gadis saya ditampar kerana sempat menendang perompak yang ingin mengikat kakinya).

Saya juga memberanikan diri meminta mereka tidak mengambil dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan dan pasport antarabangsa.

Perbualan saya dengan seorang jiran yang bekerja di sektor perbankan yang menziarahi saya selepas malapetaka ini, menimbulkan banyak pertanyaan. Begitu banyakkah wang pendatang Indonesia sehingga ada talian khas mereka di bank untuk mengirim wang ke Indonesia.

Malah menurut jiran, pekerja Indonesia akan menghantar wang dalam ribuan ringgit.

Mereka di sini bukan profesional, tetapi pekerja biasa, buruh, pembantu rumah dan bekerja di ladang. Ini amat berbeza dengan jururawat dari India yang bertugas di Malaysia. Setiap bulan mereka dapat mengirimkan wang sebanyak RM350 sahaja balik ke India.

Saya juga bersimpati dengan anggota polis. Mereka bertugas bertungkus-lumus. Bayangkan dalam tempoh 10 minit mereka telah pun sampai ke rumah saya. Dari gambar-gambar yang ditunjukkan untuk tujuan pengecaman, perompak-perompak ini pernah dipenjarakan dan dibebaskan.

Nyata penjara bukan institusi yang menakutkan mereka. Mereka juga profesional ketika merompak. Cara mereka mengawal mangsa, mengacu senjata tajam di leher saya serta menggeledah bilik-bilik jelas mereka sangat cekap.

Sehingga kini, ketika kami tidur, saya masih melihat anggota polis ronda masih lagi meronda di kawasan tempat kediaman kami.

Jika ada kutukan terhadap anggota polis ternyata orang yang membuat kutukan tidak bersyukur dan tidak merasai pahitnya pengalaman berjumpa perompak. Saya sendiri melihat bagaimana seorang anggota polis berlari sejauh dua kilometer bersama D9 (anjing pengesan polis) untuk menjejaki perompak.

Rumah saya telah diceroboh sebanyak enam kali. Tetapi kali ini saya begitu trauma kerana perompak berjaya lepas sehingga ke bilik tidur.

Harapan saya agar pihak tertinggi negara, khususnya kepimpinan Najib, berhati-hati dan berwaspada kepada setiap dasar yang dibuat, khususnya melibatkan kemasukan warga asing. Kesan dari dasar yang silap akhirnya kita berasa takut berada di negara sendiri.

Saya harus pura-pura berani di hadapan anak-anak selepas peristiwa ini. Ketakutan akan menjadikan anak-anak saya hilang semangat. Ke mana lagi kami hendak tinggal kerana inilah rumah kami, hasil dari keringat kami suami isteri serta pengorbanan dari segi wang ringgit dan masa.

Apakah ini harga yang perlu kami bayar atas nama pembangunan dan ke arah mencapai negara maju?

AMINAH AHMAD
Serkam Darat, Merlimau, Melaka

Hati-hati dengan tawaran pakej umrah murah - Matta

KUALA LUMPUR 23 Jun - Satu kegiatan penipuan pakej umrah dikesan sedang berlaku di negara ini dengan memperdayakan bakal peserta umrah terutama dari kawasan luar bandar dengan tawaran pakej umrah semurah RM3,500 serta bayarannya boleh dibuat secara ansuran.

Sambil menyifatkan pakej yang ditawarkan itu sebagai tidak masuk akal, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, kos serendah itu tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan bagi mengerjakan ibadah tersebut.

Mohd. Khalid menjelaskan, bahawa kos semasa pengendalian pakej umrah sepatutnya berharga antara RM5,000 dan RM6,000, merangkumi tiket kapal terbang, pengangkutan dan penginapan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang terpedaya terdiri daripada masyarakat luar bandar yang kurang pendedahan dan kurang arif berkenaan dengan terma dan syarat pengendalian pakej umrah.

“Kebanyakan mereka ini teruja dengan harga yang rendah serta terpedaya dengan personaliti baik dan alim yang ditonjolkan oleh wakil agensi pelancongan berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. - Bernama