SOALAN
SAYA sukacita apabila mendengar, mendapat dan melihat berita-berita ramai artis pergi menunaikan umrah dan juga haji. Artis-artis menjadi idola, model contoh dan ikutan ramai terutama di kalangan anak-anak muda.
Ramai yang bercerita menghebohkan pemergian mereka.
Yang menyedihkan ramai di antara artis-artis wanita yang telah pergi menunaikan umrah atau haji masih jahil dari segi peraturan agama, hukum dan larangan agama terutama tentang menutup aurat.
Ramai artis wanita cuma memakai selendang atau tudung sebenarnya tidak menutup aurat apabila rambut di hujung kepada terhulur keluar. Ada juga memakai tudung demikian dan memakai pula baju ketat menampakkan bentuk badan. Bukankah tidak menutup aurat itu satu dosa?
JAWAPAN:
Dalam Islam bila kita mengajar orang sesuatu kebaikan selagi mana kebaikan itu dilakukan oleh orang selagi itulah kebajikannya akan mengalir kepada kita. Dan apabila sesuatu keburukan diajar kepada seseorang selagi mana orang itu melakukannya selagi itulah tempias dosanya akan disalurkan kepada si pengajarnya.
Namun akal yang boleh membezakan antara baik dan buruk untuk dijadikan panduan dan sempadan.
Kewajipan seorang muslim menutup aurat bukan perkara (khilaf) yang diperselisihkan oleh ulama. Bahkan menutup aurat adalah wajib bagi setiap muslim lelaki dan perempuan.
Golongan yang mengingkari kewajipan menutup aurat dihukum kufur kepada perintah Allah SWT yang qatie (secara pasti dan muktamad).
Mengikut jumhur ulama wanita yang akil baligh, aurat berasal daripada bahasa Arab, aurah yang bererti kurang.
Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)
Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib.
Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi.
Di dalam al-Quran terutamanya dalam surah al-Nur, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (al-Nur: 31)
Persoalannya kenapa ada di antara artis yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan ibadat haji?
Dalam keadaan sedar pasti dia jawab kerana menunaikan fardu haji, yang bermaksud wajib. Ibadah ini wajib ditunaikan bagi setiap orang islam yang akil baligh apabila sudah cukup perbelanjaan dan yakin terhadap keselamatan dan aman perjalanan menunaikan seruan haji ini.
Jika jawapan yang diberikan kerana menyahut seruan kefarduan wajib menunaikan ibadat haji dan yakin bahawa ia diperintahkan oleh Allah.
Suka saya jelaskan bahawa tuhan yang wajibkan haji itu jugalah yang mewajibkan menutup aurat.
Saya juga hairan dengan muslim yang sebegini hanya mentaati Allah dalam sebahagian urusan agama dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (al-Baqarah: 85-86).
Ayat ini menempelak perangai Bani Israel yang beriman dengan sebahagian perintah Allah dan mengingkari sebahagian perintah yang lain di dalam Taurat. Yang demikian itu adalah perangai dan sikap Bani Israel terhadap ajaran Allah di dalam Taurat.
Mungkin tiada bezanya antara Bani Israel dan umat Muhammad SAW dari segi mengingkari perintah Allah.
Tidak dinafikan ada di kalangan artis tanah air yang mendapat hidayah Allah lalu menutup aurat. Dan ada juga artis yang zaman mudanya bergelumang dengan dunia hiburan sehingga lupa perintah Allah di kala penghujung usia baru sedar akan tuntutan agama.
Sayangnya, usia muda dihabiskan untuk memperagakan tubuh badan. Di kala tiada siapa berahi mula menutup.
Walaubagaimanapun, itulah hidayah Allah. Ini bukan bermaksud di usia muda tiada hidayah.
Hidayah adalah petunjuk dari Allah SWT akan diperolehi oleh mereka yang mencarinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment