KUALA LUMPUR 9 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bercadang memindahkan bazar larut malam atau Uptown Danau Kota ke lokasi lain.
Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, selama tiga tahun beroperasi di situ, bazar itu sudah semakin dikenali ramai dan menguntungkan peniaga.
Jelasnya, hasil pemerhatian DBKL dan maklum balas positif daripada kebanyakan pengunjung, maka tidak ada alasan kukuh untuk memindahkan lokasinya.
"Pada awal pembukaan bazar ini yang beroperasi dari pukul 9 malam hingga 4 pagi, memang ada aduan diterima daripada penduduk yang bimbang berlaku kesesakan di situ memandangkan ia terletak di kawasan perumahan.
"Namun selepas beberapa langkah keselamatan diambil oleh DBKL dan persatuan peniaga di situ, orang ramai menyambut baik kewujudannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan segelintir penduduk di kawasan perumahan Danau Kota yang mahu Uptown itu dipindahkan ke kawasan lain.
Penduduk itu yang mengemukakan cadangan melalui ruangan forum Utusan Malaysia hari ini, menjelaskan kehadiran bazar berkenaan menyebabkan persekitaran menjadi bising, kesesakan lalu lintas, mengganggu ketenteraman dan keselesaan mereka.
Salleh berkata, lokasi yang ditentukan DBKL itu adalah yang terbaik bagi memastikan orang ramai mudah mengunjunginya supaya peniaga terutama dari kategori peniaga kecil mendapat keuntungan lumayan.
"Dalam hal ini, penduduk perlu faham dan bertolak ansur kerana mana boleh DBKL membuka bazar di lokasi terpencil kerana ia akan menyukarkan orang ramai mengunjunginya dan tidak membantu jualan peniaga.
"Persatuan peniaga di situ juga sudah diarahkan supaya memantau persekitaran bagi memastikan masalah kesesakan dan keselamatan dapat dielakkan," tambahnya.
Selain itu, beliau berkata, DBKL juga sentiasa memastikan kawasan Uptown Danau Kota dibersihkan selepas operasi perniagaan tamat.
Bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas, katanya, pengunjung juga harus lebih prihatin dengan meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang tidak menghalang pintu rumah penduduk atau jalan utama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment