Monday, March 30, 2009

Harga ayam turun lagi esok

KUALA LUMPUR 30 Mac - Harga ayam pedaging akan turun lagi sebanyak 30 sen sekilogram di seluruh negara mulai esok, pengumuman kedua penurunan harga selepas yang pertama pada Khamis lepas.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Kwei Yew Tong berkata harga ayam ladang turun daripada RM3.30 kepada RM3 sekilogram, harga borong daripada RM4 kepada RM3.70 sekilogram dan harga runcit daripada RM4.70 kepada 4.40 sekilogram.

Harga borong ayam bersih akan turun daripada RM4.70 kepada RM4.35 sekilogram sementara harga runcit ayam bersih dengan betis, kepala, hati dan hempedal turun daripada RM5.55 kepada RM5.20 sekilogram.

Dalam kenyataan beliau di sini hari ini menyatakan bahawa harga runcit ayam bersih tanpa betis, kepala, hati dan hempedal turun daripada RM6.90 kepada RM6.50 sekilogram.

Katanya harga ayam turun disebabkan bekalan ayam berlebihan di Semenanjung Malaysia berikutan dengan kegawatan ekonomi.

Beliau berharap pengguna mengambil peluang dengan penurunan harga ini agar membeli lebih banyak ayam untuk mengurangkan bekalan berlebihan. Bagaimanapun penurunan harga ini hanya bagi ayam pedaging untuk kegunaan tempatan dan bukan untuk eksport. - BERNAMA

No comments: