KOTA BHARU 22 Mac - Munirah Suhaidi, 18, terpaksa mengambil cuti sekolah selama setahun mulai Julai 2007 untuk menjalani rawatan barah tulang.
Akibatnya dia terlepas peluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun tersebut.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1 itu hanya sempat kembali ke sekolah tiga bulan sebelum menduduki SPM 2008 dan kegigihannya melawan penyakit serta tumpuan kepada pelajaran memberikan ganjaran yang 'amat manis' baginya.
Gadis itu yang kini disahkan sudah bebas daripada penyakit itu memperoleh 9A iaitu 7 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Agama Islam, Sejarah, Matematik, Kimia, Biologi dan Tasawwur.
Dia memperoleh 2 2A bagi Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan manakala Fizik pula 4B.
Munirah juga merupakan antara 41 pelajar cemerlang SPM SMK Zainab yang memperoleh antara 11 A1 hingga 7 A1.
''Saya bersyukur memperoleh 9A dalam SPM 2008 dan menghadiahkan kejayaan kepada ibu, guru-guru dan rakan-rakan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Munirah, dia amat menghargai sumbangan ibunya, Noraini Ahmad, seorang pembantu makmal di Maktab Sultan Ismail yang banyak berkorban semasa dia mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
''Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan ibu termasuk sepanjang masa saya berulang alik ke hospital dan kejayaan ini adalah bagi membalas segala jasanya,'' katanya.
Dia disahkan menghidap penyakit tersebut pada Julai 2007 apabila bahagian lutut kanannya membengkak dan menjalani pembedahan pada Januari tahun lalu, disusuli dengan rawatan kemoterapi.
''Saya bersyukur kerana disahkan pulih daripada penyakit itu pada Ogos tahun lalu dan kembali ke sekolah untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
''Sebelum ini saya mengalami detik paling sukar. Ia ujian Tuhan dan saya perlu terima dengan tabah dan cekal,'' ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment