Monday, March 30, 2009

Klik di hujung jari untuk beli-belah

PERKATAAN 'klik' kini sudah semakin sinonim dengan perkembangan dunia digital yang menawarkan banyak kemudahan dalam kehidupan manusia.

Bayangkan, melalui sekali klik, pelbagai aktiviti dapat disempurnakan dengan sekelip mata walaupun pengguna hanya berada di rumah.

Salah satu dari perkhidmatan klik terkini yang telah menarik perhatian ramai pengguna adalah membeli-belah secara dalam talian.

Melihat kepada perkembangan itu, syarikat telekomunikasi terkenal, DiGi telah melebarkan sayap perniagaan mereka ke suatu bidang berbeza daripada perkhidmatan yang pernah ditawarkan kepada pelanggannya.

MySimplifieds merupakan ruang portal baru yang memberi peluang kepada pengguna menjalankan aktiviti menjual dan membeli pelbagai barangan secara lebih mudah menerusi Internet.

Dengan matlamat memberi kelainan dari segi tawaran perkhidmatan, idea penghasilan portal berkenaan dianggap berpotensi dan relevan dalam melengkapkan aplikasi mobiliti pada telefon bimbit.

Dipacu menggunakan aplikasi web 2.0, penggunaan mySimplifieds adalah sangat mudah dan unik kerana pengguna boleh mempromosikan item yang ingin mereka jual atau beli menerusi akses sambungan WAP.

Selain itu, kempen promosi turut boleh dilakukan di laman web, laman blog serta laman rangkaian sosial popular seperti Facebook dan juga Friendster .

Bermacam-macam produk boleh didapati melalui portal tersebut dari gajet elektronik dan buku sehinggalah kereta, hartanah serta pakej pelancongan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind, portal tersebut bakal memberi pengalaman berbeza kepada pengguna iaitu membeli-belah menerusi telefon bimbit.

''Apa yang menarik, aplikasi portal ini tidak hanya terhad kepada pelanggan DiGi kerana sesiapa sahaja boleh mengaksesnya melalui pendaftaran secara percuma.

''Kami juga sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) agar pengguna dapat menerima notifikasi untuk setiap transaksi tidak kira di mana mereka berada,'' katanya pada pelancaran mySimplifieds.com di Shah Alam baru-baru ini.

Untuk menggunakannya, pengguna perlu melayari laman web www.mySimplifieds.com dan menaipkan kata kunci produk yang dicari pada kotak pencarian.

Kemudian, jika kata kunci yang dicari bersesuaian dengan 11 kategori yang tersenarai, maklumat mengenai produk berkenaan akan dipaparkan seperti gambar atau video, kod dan harga serta individu yang boleh dihubungi.

Secara keseluruhannya, tiada sebarang bentuk program perisian atau bayaran dikenakan bagi membuat sebarang tawaran di mySimplifieds.

Mengenai medium pembayaran pula, pembeli akan berurusan secara langsung dengan penjual untuk menentukan sama ada ingin membayar menggunakan kad kredit atau kad debit.

Namun apa yang pasti, daripada segi keselamatan, pihak DiGi memberi jaminan akan memantau pergerakan aktiviti jual beli tersebut untuk mengelakkan sebarang bentuk penipuan.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

No comments: