Thursday, April 2, 2009

Nutrien antioksida bantu sistem imun

AKIBAT cuaca yang tidak menentu saya dan keluarga sering mendapat demam, batuk-batuk dan sakit tekak. Hampir saban bulan kami perlu ke klinik untuk mendapat ubat-ubatan. Adakah suplemen yang dapat membantu saya dan keluarga mencegah dari demam dan batuk-batuk berterusan?

JAWAPAN,

Pencemaran persekitaran, amalan pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat boleh menyumbang kepada peningkatan paras radikal bebas dalam badan yang menjurus kepada kelemahan sistem imun dan mendedahkan kita kepada pelbagai penyakit dan jangkitan.

Untuk menanganinya, tubuh kita memerlukan nutrien antioksida anti-radikal bebas untuk meneutralkan radikal bebas dan memulihkan kerosakan yang terjadi. Ia adalah penyahtoksin semula jadi yang terpenting.

Pengambilan nutrien antioksida yang mencukupi adalah penting untuk melindungi tubuh daripada aktiviti toksik dan juga menyingkirkan bahan-bahan toksik tersebut. Untuk kesihatan imun, nutrien antioksida seperti Beta karotena, vitamin C, E, mineral zink dan selenium yang lebih tinggi diperlukan. Beta-karotena atau pro-vitamin A memainkan peranan penting dalam mengekalkan membran mukus, membina tulang dan gigi yang kuat juga membantu dalam tumbesaran dan membaiki tisu-tisu badan. Selain itu, ia amat penting dalam fungsi mengekalkan kulit yang licin, lembut dan bebas daripada penyakit.

Vitamin C mengukuhkan fungsi sel darah putih yang menentang jangkitan dan membantu dalam meringankan demam selesema dan batuk. Ia banyak digunakan semasa mendapat serangan jangkitan untuk mengelak pertumbuhan virus dan bakteria. Vitamin C juga bermanfaat untuk melindungi daripada masalah berkaitan pernafasan serta mengawal saluran udara daripada serangan alergen, jangkitan virus dan perengsa.

Vitamin E adalah antioksidan yang paling efektif dalam mengekalkan integriti membran sel dan fungsi sel imun. Tambahan pula, vitamin E juga meningkatkan penghasilan antibodi dan penggandaan bilangan sel darah putih, seterusnya rintangan terhadap patogen dapat ditingkatkan.

Zink adalah mikronutrien yang diperlukan dengan sejumlah kecil untuk kesihatan. Kekurangan zink akan melemahkan sistem imun secara beransur-ansur dan meningkatkan peluang mendapat jangkitan. Oleh yang demikian, pelbagaikan pengambilan makanan berkhasiat untuk mendapat kesemua nutrien ini. Alternatifnya, pertimbangkan suplemen yang mengandungi formula kombinasi antioksida, di mana ia dapat membekalkan perlindungan dan lebih efektif berbanding dengan pengambilan nutrien antioksida secara berasingan.

No comments: