SIMPANAN dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk hari tua. Oleh itu kerajaan perlu memberi pilihan kepada pencarum KWSP menikmati wang mereka pada hari tua, bukan hanya terikat kepada 'bayaran bulanan' seperti dibayangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.
Panel yang bakal ditubuhkan bagi mencari kaedah terbaik untuk melaksanakannya, tidak harus berpegang kepada teori semata-mata tetapi perlu juga melihat daripada sudut praktikal serta kesesuaiannya.
Bersandarkan kepada laporan bahawa jangka hayat rakyat kini meningkat kepada 70 hingga 75 tahun juga tidak wajar diambil kira bulat-bulat kerana itu hanyalah andaian sains.
Logiknya ramai yang tidak sempat menikmati wang yang disimpan rata-rata lebih 30 tahun itu kerana menyahut panggilan Ilahi terlebih dulu.
Harus diingat, ramai pencarum ternanti-nanti detik 'emas' dalam hidup mereka untuk mendapat wang bagi menyempurnakan beberapa perkara. Antaranya melunaskan hutang tertunggak, memenuhi hajat membuat umrah dan menunaikan haji, melangsungkan perkahwinan anak serta menampung perbelanjaan sekolah, kolej dan universiti anak yang belum tamat pengajian.
Hasrat kerajaan memang murni tetapi niat yang baik tidak semestinya dapat memastikan pelaksanaannya juga berjalan lancar.
Apa yang saya senaraikan di atas itu memang wajib ditunaikan sebelum mengikut jejak mereka yang terlebih dahulu 'menutup mata'.
Kita juga ingin kepastian, adakah kerajaan dapat memberi jaminan dividen baki wang yang ada dalam KWSP nanti akan lebih tinggi berbanding yang ditawarkan oleh Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, institusi kewangan lain seperti Bank Rakyat, juga saham amanah.
Jika 'bayaran bulanan' dilaksanakan tanpa mengambil kira perkara asas seperti yang disebutkan di atas, ia akan mencetuskan masalah sosial bagi golongan pesara, sama seperti mereka yang kehabisan wang simpanan sebelum meninggal dunia.
Saya berharap kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan bayaran bulanan kepada pesara bukan kerajaan, hanya berdasarkan kepada laporan 'ramai yang mati sebelum waktunya' kerana simpanan habis. Tetapi harus dipastikan juga 'jangan matikan mereka sebelum waktunya.'
Bayaran bulanan di bawah RM500, sebagai contoh, hanya cukup untuk membayar bil air, elektrik serta saraan untuk sarapan pagi untuk sebulan. Bagaimana dengan minyak motosikal, kereta (Kancil atau Proton). Ini semua adalah asas yang perlu ada dan dibayar.
Justeru, saya ingin ulangi sekali lagi, sebarang keputusan yang hendak diambil kerajaan, akhirnya 'kuasa memilih' harus diberikan kepada pesara kerana wang simpanan KWSP adalah hak mereka. Kerajaan boleh merancang tetapi hak pencarum membuat keputusan tidak harus dirampas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment