AHLI akademik menyifatkan komik mampu membantu pembacanya berfikir dengan lebih bijak dan kreatif.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, komik mempunyai banyak kategori dan setiap satu mengandungi kebaikan selagi tidak memaparkan jalan cerita kurang bermoral atau aksi ganas.
"Saya sendiri kerap membeli komik bergambar termasuk berkaitan sejarah untuk pembacaan seorang anak saya yang mengalami masalah autisme iaitu lambat memahami sesuatu cerita atau maklumat.
"Dengan komik ini, anak saya lebih memahami jalan cerita yang dipaparkan dan mengetahui banyak sejarah penting negara," katanya ketika dihubungi Mega, baru-baru ini.
Beliau berkata, golongan pelajar pula boleh membaca komik yang menceritakan mengenai bidang pendidikan seperti Matematik dan Sains supaya lebih mendalami bidang itu.
Menurut Ahmad Atory, individu perlu memandang bahan bacaan itu secara positif dan menggalakkan diri serta keluarga membacanya kerana banyak komik yang dijual di negara ini memaparkan nilai murni dan mesej yang baik kepada pembaca.
"Penggemar komik membabitkan setiap peringkat usia masyarakat dan ia bukan sesuatu yang pelik kerana komik mampu menenangkan pemikiran.
"Ada pelajar genius juga amat gemar membaca komik kerana ia boleh membantu mengurangkan tekanan selepas penat mengulangkaji pelajaran terutama pada minggu peperiksaan," katanya.
Namun dalam soal ini, katanya, individu perlu tahu memilih jenis komik yang dapat mendedahkan mereka dengan ilmu yang baik.
Atory berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau komik yang dibaca anak mereka dan membelikan komik yang bersesuaian dengan usianya supaya tidak terdedah dengan cerita tidak bermoral atau keganasan.
"Individu juga perlu membaca komik pada waktu terluang bagi mengelakkannya ketagih sehingga menjejaskan tanggungjawab lain," tambahnya.
Selain itu, jelasnya, bidang penghasilan komik perlu dikembangkan menjadi sebuah industri yang penting di negara ini.
Tambahnya, bidang itu yang terbukti mempunyai ribuan penggemar setia adalah satu cabang seni penting dan boleh digelar seni pembacaan.
"Ketika ini, penggiat dalam bidang komik termasuk kartunis adalah kurang dan negara perlu memikirkan cara untuk mencari pelapis berkebolehan," katanya.
Pakar Budaya yang juga Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Abdullah Hassan pula berkata, pembaca komik ada dua kumpulan.
"Ada pembaca yang memilih komik yang dipenuhi perkataan manakala ada pula yang gemarkan komik yang banyak gambar bagi menerangkan jalan cerita di dalamnya.
"Jika ada yang anggap komik negatif, ia salah kerana sama ada positif atau negatif sesebuah bahan bacaan itu, ia bergantung kepada bentuk perkataan atau gambar yang dipaparkan, " kata beliau.
Komik, tambahnya, memudahkan pembaca memahami isi kandungannya kerana dijelaskan secara ringkas melalui tulisan dan gambar jadi tidak hairan sejak puluhan tahun lalu ramai cerdik pandai yang belajar serta menerangkan hasil teori atau ilmu mereka melalui komik.
Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar berkata, komik mampu menarik minat individu untuk membaca terutama di kalangan generasi muda.
"Pelbagai jenis komik yang mempunyai kandungan bermutu boleh diperoleh di pasaran dan ia akan membantu pemikiran seseorang dan memberi banyak pengetahuan kepada mereka.
"Lebih baik jika diwujudkan pula komik yang tidak menggunakan bahasa rojak tetapi mengandungi tatabahasa yang tepat," katanya.
Bagi memastikan golongan remaja tidak terdedah dengan paparan berunsur negatif seperti cerita lucah, komik jenis itu perlu dipantau supaya tidak dijual sewenangnya di pasaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment