Tuesday, May 12, 2009

Dilema parkir kereta

Siapakah yang patut disalahkan apabila pemandu meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan? Adakah jumlah parkir tidak mencukupi atau pemandu mengambil sikap mementingkan diri?



SIKAP endah tak endah segolongan pengguna jalan raya boleh menyebabkan kesesakan yang teruk.

--------------------------------------------------------------------------------


MASALAH tempat letak kenderaan bukanlah satu isu yang baru di Kuala Lumpur. Kesukaran mencari tempat letak kereta sehingga kadangkala terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan dilihat sebagai rencah kehidupan warga kota.

Ada yang melihat ia berpunca daripada sikap pemandu yang mementingkan diri, tetapi ada pula yang menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak menyediakan jumlah parkir yang mencukupi.

Lokasi-lokasi utama yang menjadi tumpuan seperti pusat beli-belah dan premis pejabat adalah antara lokasi yang kerap berdepan dengan situasi itu.

Tinjauan Detektif Urban di beberapa buah lokasi sekitar ibu kota termasuk di kawasan pusat beli-belah Ampang Point, Bangsar dan Mutiara Damansara mendapati masalah tersebut seolah-olah tiada penyelesaiannya.



KEMUDAHAN parkir yang tidak mencukupi antara faktor pendorong masalah kesesakan lalu lintas.

--------------------------------------------------------------------------------


Sungguhpun parkir disediakan, namun masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil jalan mudah meletakkan kenderaan mereka di tepi atau bahu jalan.

Susun atur kenderaan di tepi jalan juga menunjukkan ada di antara pemandu yang tidak mengendahkan garisan kuning di atas jalan mahupun papan tanda Tidak Dibenarkan Meletakkan Kenderaan dan Zon Tunda yang diletakkan oleh pihak berkuasa.

"Tindakan mereka bukan sahaja menjengkelkan dan menyusahkan pengguna lain, tetapi jelas menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang," ujar pereka grafik, Tahir Alif.

Mereka yang tidak bertanggungjawab, katanya, seharusnya dikenakan tindakan tegas oleh pihak bertanggungjawab.

"Ada di antara mereka meletakkan kenderaan di laluan dua lorong dan menjadikan ia sempit. Keadaan ini mencetuskan kesesakan lalu lintas yang teruk khususnya pada waktu puncak," luahnya.



PAPAN tanda amaran kini seolah-olah hanya hiasan kerana tidak diendahkan ramai pemandu tidak bertanggungjawab.

--------------------------------------------------------------------------------



Tambah lelaki berusia 29 tahun itu lagi, antara tindakan yang boleh diambil ialah menyaman ataupun menunda kenderaan yang melanggar peraturan lalu lintas itu.

Seorang jurutera, Johan Sabri, 26, berpendapat, tindakan segelintir pemandu meletakkan kenderaan mereka sesuka hati kemungkinan kerana kemudahan parkir yang tidak mencukupi.

Malah, ada pengusaha parkir yang mengenakan caj yang tidak masuk akal.

"Sesetengah lokasi seperti kawasan beli-belah dan kedai tidak mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi. Kadangkala, berjam-jam masa terbuang hanya kerana mencari parkir," katanya.

Johan tidak menyangkal caj yang dikenakan oleh operator tempat letak kereta juga merupakan salah satu faktor mendorong pemandu meletakkan kenderaan di bahu jalan.



TERDAPAT pihak yang sengaja memparkir di kaki lima atau atas garisan kuning jalan.

--------------------------------------------------------------------------------


"Sekiranya caj yang dikenakan terlalu tinggi mencecah hingga RM10 untuk sejam atau dua jam, pemandu akan mencari alternatif lain untuk meletakkan kenderaan mereka. Caj tersebut sangat membebankan."

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan atau pengurusan pusat beli-belah perlu bijak merancang penyediaan jumlah parkir yang sewajarnya untuk kemudahan bersama.

Sebagai contoh, Johan berkata, sebuah kawasan lapang yang dahulunya sebuah pusat perabot bersebelahan Ampang Point sesuai dijadikan tempat letak kereta bertingkat.

"Sebaliknya, ia kini hanyalah sebuah tempat letak kereta terbuka. Selain membataskan jumlah kotak parkir, ada di antara pemandu yang berfikir daripada mereka membayar caj tinggi untuk meletakkan kenderaan di tempat yang panas, lebih baik memparkir kenderaan di bahu jalan."

No comments: