KUALA LUMPUR 28 April - Tiga pelajar sekolah menengah akan mewakili negara ke pertandingan akhir Kuiz ASEAN 2009 di Filipina, Oktober ini.
Kesemua mereka layak mewakili negara selepas memenangi pertandingan peringkat kebangsaan di Angkasapuri di sini hari ini.
Mereka ialah Naveen Nagalingan, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdullah Munsyi Ibrahim, Johor, Tan Jun Tat dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan dan Khadijah Ahmad Jais dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Seremban.
Naveen yang menjadi johan, membawa pulang cek bernilai RM1,000, piala dan sijil penghargaan. Naib johan, Jun Tat dan ketiga, Khadijah masing-masing membawa pulang cek bernilai RM750 dan RM500, piala dan sijil penyertaan.
Naveen ketika ditemui menyifatkan kemenangannya itu sebagai 'mimpi indah' yang menjadi kenyataan.
''Saya gembira. Sebenarnya, saya tidak sangka akan menang kerana saya agak jauh tertinggal berbanding Jun Tat, malah lebih mengejutkan, saya akan ke Filipina untuk mewakili negara.
''Ia sesuatu yang paling menyeronokkan dalam hidup saya. Saya kini berusaha untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai ASEAN selain mempelajari lebih banyak mengenai sejarahnya," katanya pada majlis penyerahan hadiah itu.
Dalam pertandingan tersebut, Naveen menewaskan 14 peserta lain dari seluruh negara.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Poziah Abdul Rahman.
Katanya lagi, dia mengambil masa lebih sebulan untuk mencari maklumat mengenai ASEAN sebagai persediaan menyertai kuiz tersebut.
''Dalam tempoh tersebut, saya banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet dan juga membaca buku-buku mengenai ASEAN,'' ujarnya.
Kuiz ASEAN merupakan pertandingan yang dibuka kepada pelajar sekolah berumur antara 16 hingga 19 tahun bagi menyemai dan mengukuhkan hubungan di antara negara ASEAN khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sebelum ini, Thailand menjadi tuan rumah dalam pertandingan akhir Kuiz ASEAN pada 2002, manakala Brunei (2004) dan Malaysia (2006).
Kuiz ASEAN merupakan salah satu daripada aktiviti Jawatankuasa Budaya dan Informasi ASEAN (ASEAN-COCI) yang diadakan setiap dua tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment