BANGI: Kertas kerja mengenai perlunya kajian mendalam penggunaan sumber tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik di negara ini akan dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya bulan depan. Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor, berkata kertas kerja berkenaan disediakan kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang kini pada peringkat akhir untuk disemak sebelum dibentangkan ke Kabinet. Beliau berkata, kerajaan bercadang untuk menggunakan sumber tenaga nuklear selepas 2020 dan kerana itu kementerian berasakan adalah masa yang sesuai melaksanakan kajian lebih mendalam mengenai penggunaan bahan berkenaan.
"Kajian ini termasuk dalam aspek keselamatan dan pendedahan orang awam mengenai tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik selain kajian mengenai bahan buangan penggunaan tenaga nuklear," katanya semalam. Shaziman berkata, orang ramai perlu tahu bahawa pembangunan tenaga nuklear mengambil masa lama untuk dibangunkan iaitu sekurang-kurangnya 15 tahun. "Misalnya, jika kerajaan kita bersetuju untuk menggunakan tenaga nuklear, kita kena tahu dari tarikh bersetuju sehingga tarikh boleh gunakan tenaga itu, kita perlu mengambil masa setidak-tidaknya 15 tahun. Ini satu jangka masa yang lama, maka kajian perlu dibuat sekarang," katanya.
Beliau berkata, walaupun belum ada keputusan untuk menggunakan tenaga berkenaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah bersedia awal dengan menghantar beberapa kakitangan mereka ke negara yang sudah menggunakan tenaga nuklear untuk mendalami kepakaran yang ada. Katanya, apabila Malaysia mengambil keputusan mahu menggunakan tenaga nuklear nanti, ia mudah kerana TNB sudah ada kepakaran mereka. Mengulas lanjut kertas kerja berkenaan, katanya antara yang dicadangkan ialah mengenai masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik serta jangka masa yang boleh serta sesuai untuk negara memulakan projek berkenaan. "Saya berasakan kita perlu lihat negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang sudah bergerak ke arah untuk menggunakan sumber tenaga berkenaan. Bagi Malaysia, oleh kerana kita diterima baik pada peringkat antarabangsa, kita juga perlu melihat perlunya penggunaan sumber tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik.
"Kita kena ingat bahawa untuk mendapatkan kebenaran menggunakan tenaga nuklear bukannya mudah. Kita perlu dapatkan kebenaran daripada badan antarabangsa tertentu. Kerajaan kena lihat perkara ini dengan serius dan mengambil kira bahawa kenaikan harga minyak dunia adalah faktor yang mendorong perlunya pembangunan tenaga nuklear ini. "Kita buat kajian sekarang untuk melihat masa sesuai memulakan projek penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik ini serta persediaan kita perlu melangkah ke arah itu," katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment